Tuesday, February 15, 2011

Bila Izrail Menjemput Sahabatku


Pagi ini dalam kemeriahan dan riuh-rendah Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Nasional, aku dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat. Terasa tersentak. Begitu sinonimnya kelahiran dan kematian hingga di saat meraikan maulid seorang manusia Agung, seorang hamba Nya yang lain pulang ke pangkuan al-Khaliq.

Sahabat itu, Mohd Ikhwan Jamil, aku kenali sejak 2004 lagi. Sama-sama sekelas di Matric UIAM. Kebetulan bilik kami juga berhampiran. Di UIAM Gombak, aku menumpang di bilik beliau, Sofiyyussalam dan Asun untuk semester pendek 2004/2005. Aku sekali lagi menjadi teman sebilik beliau pada Tahun ke-2 dan ke-3 di UIAM Gombak.

Ikhwan yang aku kenali memang sentiasa tersenyum, pemalu dan sangat sukar untuk marah-marah. Kami memang gemar menyakat dan mengusik beliau. Teringat lagi kenangan menonton filem di bilik bersama-sama. Beliau akan menutup muka dengan bantal setiap kali adegan seram dan saspens.

Beliau kami hormati sebagai seorang yang sentiasa cuba menjadi Muslim yang baik. Beliau menjaga solatnya dan gemar berjemaah di masjid. Aktif dalam program-program kemasyarakatan, beliau akhirnya diangkat sebagai Presiden AKHI, sebuah persatuan khidmat masyarakat di UIAM.

Pemergian mengejut beliau benar-benar membuatkan aku merasai hakikat kematian. Betapa sesungguhnya maut itu tidak pernah jauh dari setiap manusia. Ibarat bayang-bayang yang tak pernah jemu mengekori kita setiap masa dan ketika. Sampai saatnya nanti, tangannya akan dihulur, menjemput kita ke alam seterusnya.

Lalu persoalannya, bersediakah kita? Aku melihat persediaan itu datang dari 2 sudut berbeza. Pertama, bersediakah mereka yang akan ditinggalkan untuk meneruskan hidup tanpa kita di sisi. Adakah tanpa kita nanti isteri dan anak-anak kita terpaksa hidup susah, mencari sesuap nasi pagi dan petang. Atau adakah kita sudah menyediakan simpanan yang cukup buat mereka untuk melangsungkan hidup sementara bertemu punca rezeki yang lain.

Cukup sudahkah didikan kita tinggalkan kepada anak-anak. Apakah asas jatidiri mereka sudah teguh untuk terus melangkah di jalan yang diredhai Allah walaupun tanpa kita di sisi. Mereka inilah satu antara 3 pelaburan yang akan setia memberikan pulangan walau kita sudah berlepas ke Barzakh nanti.

Kedua, apakah keputusan ujian kehidupan di dunia ini yang akan kita bawa bertemu Sang Pencipta? Luluskah kita berbekalkan amalan yang sedikit dan berbebankan dosa yang menggunung? Mampukah nanti kita beroleh kemuliaan untuk melihat Zat Yang Maha Esa?

Berapa banyakkah selawat dan salam yang telah kita kirimkan kepada Kekasih Allah Muhammad S.A.W. dan Ahlul Bait nya? Sudahkah kita laksanakan syariat peninggalan baginda sebagai bukti kecintaan kita? Layakkah kita memohon simpati baginda dan Ahlul Bait nya di al-Kauthar?

Bersamalah kita congak dan anggarkan kunci kira-kira bekalan yang akan kita bawa dan yang akan kita tinggalkan. Semoga bila Izrail datang, kita pergi sebagai mereka yang berjaya bukan mereka yang rugi. Ilahi Ameen.

Inna Lillahi Wa Inna Ilahi Raji'un. Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepada Nya kita akan kembali.

Monday, February 14, 2011

Salahkah bercinta di ambang Maulidur Rasul?

Malam ini malam menjelang Maulidur Rasul S.A.W. mengikut kebanyakan ulama' Sunni. Malam ini juga malam setelah sambutan St. Valentine's Day.

Aku terkedu membaca komentar Muslim-Muslim "urban". Kata mereka, "chill lah, sambutan hanya untuk anak muda bersuka-ria. Salahkah kita meraikan kasih-sayang dan cinta? Apakah cinta dilarang agama?

Teringin untuk aku lontarkan kembali, apa Mualidur Rasul itu bukan hari yang khusus untuk meraikan cinta? Bukan hari yang istimewa untuk melahirkan ekspresi kasih-sayang?

Menyambut kelahiran Muhammad S.A.W. sebagai satu-satu anugerah Allah yang paling berharga kepada makhluk Nya sekalian alam tidak cukup dengan berarak di hadapan PM yang ayu berkebaya dan isterinya yang segak dengan baju melayu dan songkok.

Menyambut maulid Sang Penyelamat Insan harus disertai dengan azam untuk menjadi umatnya yang lebih baik. Tidak perlu kepada perkara besar-besar yang belum mampu kita capai, cukuplah dengan amalan-amalan mudah yang senang diukur perlaksanaannya seperti:

1. Menjaga solat 5 waktu, andai sudah tercapai;
2. Berazam untuk solat di awal waktu,
3. Membaca al-Quran sekurang-kurangnya sekali sehari,
4. Menjauhi rasuah, berbohong dan menzalimi orang lain,
5. Menyayangi fakir miskin dan anak-anak yatim
6. Berlaku adil dalam setiap keadaan
7. Dan lain-lain amalan yang bakal membezakan antara Mu'min dan fasik

Tapi bukan itu sahaja. masih banyak lagi azam-azam yang boleh dibina dari aspek yang belum diteroka. Seperti buat yang dahagakan cinta, yang nafsu muda bergelora di dada, bukankah banyak anjuran Rasulullah S.A.W. yang bertema cinta?

1. Menyenangkan hati suami (berpakaian indah, layanan mesra, menghias diri)
2. Mengasihi dan menyayangi isteri (buat kejutan hadiahkan bunga mungkin?)
3. Berazam untuk menikahi si dia secepat mungkin (mulakan dengan perancangan kewangan)
4. Membahagiakn kedua ibu-bapa (belanja makan ke, bawa jalan-jalan ke?)
4. Cukup banyak contoh yang kita masing-masing boleh fikirkan...

Maka, salahkah segala perancangan romantik kita untuk Hari St. Valentine yang disambut saban tahun itu dilaksanakan pada setiap 12 Rabi'ul Awwal sebagai tanda kegembiraan menyambut kelahrian Sang Pencinta Sejati, Muhammad S.A.W.?

Mungkin ustaz-ustaz dan para ilmuwan kita boleh menukar sedikit tema ceramah-ceramah Maulidur Rasul dari sekadar mengingati sejarah kelahrian Rasulullah S.A.W. kepada memperingati dan memperjuangkan apa yang ditinggalkannya. Dan bukankah cinta dan kasih-sayang itu sebahagian dari ajaran yang dibawa Junjungan kita, dpraktikkan dalam hidupnya melalui tutur kata dan perbuatan lalu menjadi sebahagian Sunnah Baginda?

Kenalkan Islam dari perspektif cinta baru anak-anak muda tak lagi malu-malu untuk hadir ke majlis ilmu. To get people to comprehend your message, you got to talk their language.

Wednesday, February 2, 2011

Berapa ramai Hussein lagikah yang harus terkorban?

Muhammad Abu Azizi. Tidak lama dahulu nama ini tak memberi apa-apa makna. Hanya sekadar satu nama. Namun sejak 17 December 2010, nama ini kini sinonim dengan perjuangan marhaen. Disebut senafas dengan semangat perjuangan rakyat. Pengorbanan yang membawa kepada jatuhnya 2 tiran (setakat ini).

Melihat gelombang kebangkitan yang menyapu bumi Arab bak ribut pasir yang bisa menghempaskan helikopter Apache pantas mengimbau kejadian di tanah Mesopotamia lebih kurang 14 kurun yang lalu.

Di saat itu, si syaitan tiran sedang hanyut dibuai kuasa dunia. Ummah tertindas tiada terbela. Tiada yang berani bangkit melawan kerna tiran ini bergelar Khalifah dan kononnya haram menentang Khalifah biar sezalim mana pun dia. Selagi dia mengaku Muslim teruslah dia wajib ditaati walaupun hidupnya tak pernah sesaat berlalu tanpa dia ingkar pada perintah Yang Maha Esa. Begitulah yang dicanang 'ulama'-'ulama' upahan istana.

Mimbar-mimbar masjid digunakan untuk menghina wasi dan pewaris Rasulullah S.A.W. sementara si Khalifah berpesta bersama kroninya diiringi giur lengguk tari dayang-dayang istana. Sungguh Islam ketika itu hanya tinggal pada nama.

Lalu bangkitlah sesusuk tubuh yang mulia. Berat pundaknya menggalas tugas sebagai Imam kepada ummah yang kian terhina. Tiada jalan lain yang masih terbuka. Demokrasi, toleransi, perjanjian damai, segalanya telah dicuba oleh abang dan ayahnya. Namun terbukti syaitan-syaitan yang gila kuasa takkan pernah mengenal erti "kata dipegang, janji dikota."

Tanggal 8 Muharram berlakulah konfrontasi antara tentera Imam yang mulia dan "Khalifah' yang durjana. Menjelang senja 10 Muharram, hanya tinggal tubuh-tubuh tak bernyawa, bermandi darah di Karbala. Ternyata pengorbanan cucu Rasul yang mulia tak berlalu dengan sia-sia. Dari puing-puing Karbala, bangkitlah ummah menentang si Syaitan Durjana. Dari tubuh-tubuh kaku syahid tanpa kepala di Karbala, lahirlah si Malik Asytar, yang kelak bakal menumbangkan rejim Yazid Laknatullah.

Kini ketahuilah, apa yang berlaku 14 kurun yang lalu sudah berulang dan pasti akan terjadi lagi. Saudara kita Muhammad Abu Azizi tidak teragak-agak mengorbankan diri demi menjadi pencetus kebangkitan rakyat. Demi mengejutkan ummah dari lena yang panjang (lena yang mungkin bermula dengan tertutupnya pintu Ijtihad), dibuai mimpi tentang sejarah silam yang gemilang namun terlupa akan realiti yang semakin parah.

Kajilah tentang Yazid, dan bandingkan dengan pemerintah-pemerintah negara Muslim kini. Ada bezanya? Maka berapa ramai Hussein dan Abu Azizi yang harus terkorban sebelum kita bangkit seperti Malik Ashtar, warga Tunisia dan Mesir? Berapa gelen darah lagikah yang harus mengalir sebelum kita belajar bahawa dilahirkan dengan nama Muhammad, Yazid, Husni, Saddam, Anwar atau nama Muslim yang lain, tidak menjamin mereka layak menjadi pemimpin ummah, yang harus ditaati tanpa berbelah bahagi. Kerna ukuran kepimpinan terletak pada taqwa pada Yang Maha Esa

Bangkitlah dan berjuanglah. Berkorbanlah sekadar kemampuan kita. Berjihad tidak diukur dalam skala kecil besar. Mulakan da'wah anda. Seorang Mukmin yang anda kejutkan dari lenanya, Insya-Allah akan membawa kita setapak lebih hampir ke arah Rahmah dan Barakah dari Nya.

"REGISTER TO VOTE TODAY. VOTE FOR YOUR CHILDREN, COZ THIS WORLD IS FOR THEM TO INHERIT"

Tuesday, February 1, 2011

Selamat Hari Wilayah ke 39

Alhamdulillah, di malam sambutan Hari Wilayah ini, jari-jemariku kembali menemukan semangat untuk berdansa di pentas papan kekunci serba hitam ini.. Sememangnya tanpa disiplin yang teguh, laman blog ini akan terus sepi..

Esok, 1 Februari sambutan Hari Wilayah.. Antara hari penting dlm landskap politik Malaysia. Saban tahun kita merayakan, tapi sangat kurang sejarah pembentukan Wilayah Persekutuan (WP) dipaparkan kepada umum.

WP Kuala Lumpur dibentuk tidak lama setelah peristiwa 13 Mei 1969 (1 Februari 1972). Pada PRU ke-3 (10 Mei 1969), Perikatan yang diterajui UMNO, MCA dan MIC telah mengalami tamparan yang cukup hebat. Parti-parti pembankang seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), DAP, PPP, dan PAS berjaya menyapu 49 kerusi Parlimen dan memungut 50.7% daripada jumlah undi.

Kebanyakan kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang adalah kerusi-kerusi di Selangor di kawasan-kawasan majoriti Cina (yang kini dikenali sebagi Kuala Lumpur). PRU ke-3 itu juga menyaksikan Selangor hampir-hampir jatuh ke tangan pembangkang.

Seperti diketahui ramai, kejayaan parti-parti pembangkang waktu itu akhirnya membawa kepada peristiwa 13 Mei (hasil provokasi mereka yang tidak gemar untuk kalah- cari kembali siapa yang bertanggungjawab berceramah sana-sini sambil mengucup keris dan berjanji akan membasahkan senjata kecil tersebut denagn darah orang-orang Cina).

Tetapi, kisah yang kurang popular, tetapi tidak kurang juga pentingnya, keputusan PRU ke-3 itu juga membawa kepada penubuhan Kuala Lumpur. Dengan mengasingkan Kuala Lumpur (kawasan panas penyokong pembangkang) dari Selangor, pemerintah akan dapat memastikan kedudukan mereka di DUN Selangor takkan terjejas. Almarhum Sultan Selangor akhirnya menandatangani perjanjian penyerahan KL kepada Persekutuan dgn linangan air mata.

Peristiwa tersebut melahirkan 1 konsep yang masih kekal diamalkan ke hari ini - menang dengan apa juga cara-. Maka usah lah kita hairan selepas sekali lagi mengalami tamparan hebat pada MAC 2008, pelbagai cara lebih hebat akan dilakukan. Suka saya memetik kata-kata Hishamuddin Rais " Kalau PRU boleh mengubah apa-apa, sudah lama ia diharamkan".

Tetapi percayalah, tiap umat manusia punya tahap toleransi masing-masing. Lihatlah di Tunisia, pandang ke arah Mesir dan nikmatilah tiupan hangat angin perjuangan itu. Tirani takkan berpanjangan, lambat-laun rakyat yang buta akan kembali melihat.

Setelah Revolusi Islam Iran 1979 dulu berjaya meniupkan semangat penubuhan negara Islam di kalangan negara-negara Muslim, Insya-Allah revolusi kali ini akan meniupkan angin perjuangan menentang kezaliman tirani, menghapus pemerintahan yang dihambat nafsu seorang wanita.

Sehingga ke saat itu, berjanjilah kita kepada diri masing-masing, demi zuriat yang bakal mewarisi negara ini, akan kita kerah segal yang termampu dalam ruang lingkup keterbatasan masing-masing, untuk menyumbang dalam apa cara sekalipun ke arah pembentukan sebuah "baldatun toyyibah".

Sempena Hari Wilayah ini, katakan tidak kepada mereka yang cuba menafikan suara rakyat. Agar apa juga keputusan PRU ke13 nanti akan dihormati dan tidak dipijak-pijak seperti PRU ke3. Hari Wilayah ini sepatutnya mengingatkan kita bahawa manusia sanggup melakukan apa sahaja demi KUASA, HARTA dan WANITA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...