Thursday, March 10, 2011

Tidak, kami tak bersalah!!!


Aku merasa terpanggil untuk menulis setelah membaca komen seorang kawan yang berbunyi,

"Apa kata jika saya mengusulkan kpd YAB DS Najib utk ambil semua keuntungan petronas & guna utk tampung subsidi minyak serta gunakan utk welfare rakyat....krn saya brpendapat rakyat smakin trtekan dgn harga minyak yang mahal...apa pendapat tuan2 sekalian?"

Isu subsidi minyak ini sudah lama popular. Sana-sini orang memperkatakannya. Dari menteri, ahli politik hinggalah ke pelajar sekolah dan pakcik-pakcik di warung-warung kopi. PETRONAS sebagai syarikat minyak milik negara selalunya menjadi sasaran mudah. Hinggakan Tan Sri Hassan Merican pernah terpaksa muncul di kaca TV menghadapi tuduhan pelbagai pihak terhadap PETRONAS.

Saya rasa elok kita mulakan dengan sistem pembayaran subsidi minyak (untuk petrol , LPG dan diesel). Peruncit seperti PETRONAS Dagangan Berhad, Shell Trading (M) Sdn Bhd, dan yang lain membeli bahan mentah pada harga pasaran.

Setiap bulan, peruncit-peruncit ini akan memfailkan jumlah minyak bersubsidi yang telah dijual kepada KPDNKK untuk tujuan menuntut bayaran subsidi.

Jika harga pasaran ialah RM2.4o seliter, dan harga subsidi ialah RM1.90 seliter, maka peruncit seperti Shell akan menuntut RM0.5o bagi setiap liter yang telah dijual daripada Kerajaan Malaysia melalui KPDNKK.

Dapat kita lihat, berapa pun harga minyak dijual di stesen (harga pam) tidak akan memberi kesan langsung (direct impact) terhadap hasil dan keuntungan peruncit-peruncit ini. Maka, dengan sendiri nya kita dapat buktikan, PETRONAS tidak mempunyai kuasa atau apa-apa sebab untuk menentukan harga pam.

Jadi, soalan seterusnya, betulkah subsidi minyak ini merupakan beban yang cukup besar kepada kerajaan?

Di Malaysia, sektor jualan runcit minyak dikuasai oleh Shell Trading dan PETRONAS Dagangan (PDB). Kedua-duanya menguasai lebih kurang 40% pasaran setiap satu sementara baki 20% terdiri daripa Esso & Mobil, BHP dan Caltex. Secara kasar, Shell Trading akan menuntut 40% daripada wang subsidi, PDB 40% dan yang lain-lain 20%.

PDB dikuasai 77% oleh Kerajaan Malaysia melalui PETRONAS, KWSP dan PNB. Secara kasarnya, melalui milikan ini, 31% daripada wang subsidi yang keluar daripada "poket kiri" Kerajaan Malaysia akan diperolehi semula melalui "poket kanan" dalam bentuk dividen dan peningkatan nilai pelaburan.

Angka di atas dikira tanpa mengambil kira jumlah cukai yang akan dibayar oleh peruncit-peruncit ini kepada Kerajaan Malaysia. Mengikut laporan tahunan 2010, PDB membayar 28% daripada keuntungan sebelum cukai (RM288.5 juta) sebagai cukai pendapatan.

Jadi, daripada RM1 subsidi yang dibayar Kerajaan kepada PDB, lebih kurang RM0.40 akan diperolehi kembali.

Selain daripada itu, jumlah subsidi minyak yang diwar-warkan kerajaan melibatkan 2 komponen, Pertama, wang yang dibayar kepada peruncit seperti yang diterangkan tadi dan kedua, kehilangan cukai. Kehilangan cukai adalah pengecualian cukai jualan yang diberikan ke atas jualan runcit minyak.

Dalam erti kata lain, pengecualian cukai ini hanyalah bersifat jumlah wang yang boleh dikutip andai kerajaan mengenakan cukai jualan ke atas jualan runcit minyak. Tiada wang/kos yang keluar, hanya pengurangan jumlah wang yang masuk. Secara purata, 60% daripada jumlah subsidi yang diwar-warkan kerajaan adalah bersifat pengecualian cukai.

Jadi, secara kasarnya, jika Kerajaan mewar-warkan jumlah subsidi untuk 2010 adalah sebanyak RM10 billion, RM6 billion tidak melibatkan pengaliran keluar wang dari dana kerajaan (pengecualian cukai). Baki RM4 billion dalam bentuk wang subsidi dibayar kepada peruncit-peruncit minyak. RM1.6 billion daripada jumlah tersebut pula akan dibayar kepada PDB. RM1.2 billion daripada jumlah yang dibayar kepada PDB itu pula akan kembali kepada kerajaan dalam bentuk pulangan pelaburan dan cukai.

Jadi, daripada jumlah RM10 billion yang diwar-warkan, hanya RM2.8 (28%) billion sahaja yang betul-betul keluar daripada dana kerajaan.

Adakah jumlah tersebut terlalu besar untuk ditampung kerajaan? Sedangkan setiap sen kenaikan minyak akan menyebabkan kenaikan berlipat-ganda harga barang-barang keperluan lain. Bayangkan jumlah bersih impak kenaikan minyak yang dibebankan ke atas setiap rakyat Malaysia tanpa mengenal miskin atau kaya.

Ibarat seorang ayah yang melihat belanja yang terpaksa dikeluarkan untuk pendidikan anak-anak sebagai sangat membebankan. Padahal dalam masa yang sama, dia berhabis duit membeli BMW dan banglo di Mont Kiara untuk memuaskan kehendak isteri mudanya yang bernafsu XXL.

Jika benar kerajaan tidak berduit, pandang ke cermin dahulu sebelum menoleh kepada rakyat marhaen. Jadi jawapan saya, "Ya, Buku Oren itu logik dan realistik namun hanya dapat ditunaikan oleh kerajaan yang bersih daripada rasuah" dan "Tidak. PETRONAS tidak terlibat lansung dalam huru-hara subsidi minyak ini. Setiap RM1 pendapatan PETRONAS, RM0.70 dipulangkan kembali kepada Kerajaan dalam pelbagai bentuk. Tidak cukupkah itu?"





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...