Thursday, April 21, 2011

KE AKHIR GARISAN


KE AKHIR GARISAN

Dunia kini berputar ligat ibarat gasing mengejar masa. Kepantasan, kelajuan ditutur senafas dengan kejayaan. Yang lambat pastinya akan tertinggal di belakang dibiarkan mengatur langkah keseorangan. Masing-masing berlumba-lumba menyudahkan pelbagai kerja serentak dalam satu-satu masa. 

24 jam sehari seakan tidak pernah dapat menampung tuntutan kerjaya, keluarga dan peribadi yang semakin bertambah. Kekadang timbul keinginan memohon dianugerahkan tambahan masa barang sejam dua. Dewasa ini, dunia tampak menuntut hasil yang lebih dalam senggang masa yang semakin singkat. 

Formula 1
Perlumbaan Formula 1 (F1) yang baru berlangsung di Malaysia memberikan analogi yang cukup tepat dalam menggambarkan peri kehidupan masyarakat mutakhir ini. Sorakan ghairah setiap kali kereta-kereta F1 melintas menderas pada kelajuan lebih 300 km/j menjadi simbol nyata obsesi manusia kepada kepantasan. 

Kita menginginkan kejayaan datang sepantas pelumba F1 memecut membelah dedebu petang Ahad yang panas. Kecemerlangan dalam kerjaya individu kini diukur menerusi kepantasan memanjat tangga korporat dan bukan lagi kepada pencapaian sepanjang pendakian tersebut. Seluruh tenaga dan usaha ditumpukan untuk memecut sederas mungkin menuju ke matlamat terakhir.

Namun seperti kereta F1 yang memerlukan pit-stop bagi memastikan kereta tersebut mampu bertahan ke akhir perlumbaan, manusia juga memerlukan pit-stop agar langkah yang diatur tidak longlai di pertengahan.

Pit-stop atau berhenti sebentar di setiap liku kehidupan membolehkan kita menikmati dan menilai perjalanan yang telah ditempuh. Betulkah jalan yang telah dilalui, sesuaikah cara yang digunakan, telah tersasarkah arah yang dituju daripada destinasi asal? Soalan-soalan muhasabah diri sebegitu bakal membantu kita mengenal pasti aspek-aspek yang dapat diperbaiki agar perjalanan yang mendatang berjaya diharung dengan lebih baik.

Di samping itu, dalam kesibukan berlari mengejar impian, sering ada yang jatuh dan tercicir di perjalanan. Kekadang ia harta yang berharga meski sering diabaikan. Acapkali kita lihat tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat atau pembangunan rohani dikorbankan demi mengejar kepuasan material. 

Dek keghairahan memacu impian sebegitu, tanpa pit-stop, kesedaran hanya mungkin timbul bila telah tiba di destinasi idaman. Selalunya di saat itu sudah terlalu lambat untuk berpatah balik. Tidak jarang juga, harta yang tercicir itu telah dikutip musafir lain di jalanan.

Hal ini tidak terhad kepada perjalanan hidup individu sahaja. Syarikat-syarikat perusahaan juga tidak lepas dari menghadapi dilema yang sama. Nilai-nilai murni yang menjadi identiti sesebuah organisasi kerap kali hanyut dalam usaha mengejar keuntungan dan pertumbuhan yang pesat. Tanggungjawab sosial sebagai warga korporat terhadap kakitangan, masyarakat dan alam sekitar pula sering dipandang enteng dan dianggap beban yang membatas. 

Mengamalkan budaya pit-stop dalam dunia korporat membenarkan pihak pengurusan sesekali menoleh ke belakang dalam menggarap strategi untuk terus memecut ke hadapan. Walaubagaimanapun, pit-stop haruslah terancang dan dijadualkan dalam jeda yang tertentu. Seringkali terbukti dalam sukan Formula 1, pit-stop yang terlalu kerap atau terlalu panjang akan membuatkan kita hilang momentum dan membuka peluang memintas kepada pelumba-pelumba lain.

Satu pusingan atau seluruh perlumbaan?
Memelihara momentum bukanlah semudah yang dijangka. Keseimbangan harus dibahagi antara pecutan atau kelajuan yang konsisten. Bukanlah sesuatu yang aneh apabila Mark Webber berjaya mencatat pusingan terpantas di Sepang tempoh hari namun gagal menjuarai perlumbaan dan tewas di tangan Sebastian Vettel. 

Memilih antara memecut sehabis tenaga atau memelihara stamina ternyata satu keputusan yang sukar. Andai diperlahankan pecutan untuk memelihara stamina, bimbang kita akan segera dipintas. Tapi, memerah seluruh keringat untuk memintas ke hadapan sekarang, mungkin menyaksikan kita tumbang sebelum tiba ke akhir garisan. 

Dalam hal ini, peribahasa Melayu ada berpesan “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit” dan “sehari selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain”. Pedoman yang ditinggalkan berkurun dahulu ini mengingatkan kita bahawa perjalanan menuju mana-mana destinasi dibina daripada kejayaan dan kesabaran mengatur langkah demi langkah. 

Usaha mengejar matlamat jangka pendek harus diberikan perhatian setaraf dengan usaha membentuk kejayaan jangka panjang. Usaha menggapai jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi harus dimulakan dengan tekad menghasilkan yang terbaik dalam perlaksanaan tugas yang dijawat sekarang. Begitu juga sebuah syarikat yang bercita-cita untuk menguasai pasaran harus bermula dengan usaha meningkatkan mutu produk dan kebolehan kakitangannya.

Biarpun begitu, kita harus beringat agar tidak telalu leka mengejar kejayaan jangka pendek sehingga mengabaikan matlamat jangka panjang. Sikap sebegini sering dapat dilihat apabila kita dirundung masalah. Selalunya, kita akan memilih jalan penyelesaian paling mudah dan cepat tanpa perlu menggali apakah punca masalah tersebut. Tindakan seperti itu mungkin dapat membantu mencapai matlamat jangka pendek, namun adakah ia berkesan untuk jangka panjang?

Dalam dunia perniagaan contohnya, pihak pengurusan dituntut untuk menunjukkan keputusan memberangsangkan saban tahun. Tekanan sebegini membuatkan ramai memilih menggunakan muslihat-muslihat ilmu perakaunan bagi memastikan laporan tahunan terus mencatatkan keuntungan memuaskan. Pelbagai kaedah digunakan seperti memindahkan aset-aset yang rugi kepada anak syarikat, memberikan penilaian yang tidak munasabah ke atas aset-aset tak ketara dan mengelaskan perbelanjaan sebagai pelaburan ke dalam aset syarikat. 

Walaupun tindakan licik sebegini mungkin berjaya meningkatkan keuntungan syarikat untuk jangka masa pendek, ia pasti akan memusnahkan syarikat dalam jangka panjang. Ini terbukti melalui beberapa siri kegagalan korporat seperti Enron, Tyco dan Barings Bank di Barat dan Kumpulan Transmile di Malaysia. 

Ke akhir garisan
Secara ringkasnya, kepantasan mutlak tidak selalunya membawa kepada kejayaan berterusan. Setiap individu dan organisasi hendaklah dibiar bebas bergerak dalam julat kelajuan yang relatif dengan saiznya. Sebagai analoginya, kelajuan 220 km/j adalah terlalu perlahan untuk sebuah kereta F1 tetapi sangat laju untuk sebuah PROTON Persona. Andai Persona tersebut dipaksa memecut sederas itu, pasti akan rosaklah enjinnya. 

Pilihlah kelajuan yang dapat memastikan kita terus bersaing sengit namun tidak mengorbankan kemampuan kita bertahan hingga ke akhir garisan. Dalam berlari kencang begitu, sesekali berehatlah seketika buat menoleh ke belakang, mengutip pengajaran sebelum menyusun gerak langkah ke hadapan. 

Pastikan fokus dan usaha yang dilabur seimbang antara matlamat jangka pendek dan panjang. Setiap tanda aras yang kita tempuhi haruslah selari menuju ke arah destinasi impian. Dengan kelajuan yang konsisten dan matlamat yang jelas, akhirnya kita akan berjaya melangkah hinga “Ke Akhir Garisan”.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...