Tuesday, May 20, 2008

Hikayat Si Mantan Bendahara

Arakian tersebutlah kisah di sebuah tanah tempat tinggal orang-orang yang takkan hilang di dunia. Seketika, heboh orang berbicara tentang kisah mantan bendahara yang tiba-tiba mahu meninggalkan bahtera yang ditumpanginya sekian lama. Agak kecoh sedikit seluruh watan jadinya.

Khabarnya si mantan bendahara itu kecewa dengan pewarisnya kerna dikatakan menderhaka dan melanggar janji. Puaslah diajak juak-juak yang masih setia kepadanya agar turut serta terjun dari bahtera yang dikemudi nakhoda derhaka itu.

Sebelum bertindak terjun dari bahtera yang didakwanya bakal karam itu, si mantan bendahara kerap kali melaungkan rasa tidak puas hati dan rajuknya. Dijeritkan bahawa si pewaris itu tidak demokratik, melebihkan anak bini dari negara, lembik, dan menyekat si mantan bendahara dari berjumpa dan berucap di hadapan jelata.

Mendengar tuduhan, keluhan dan rajuk si mantan bendahara ibarat mendengar seorang negarawan ulung yang benar-benar risaukan nasib bangsanya. Namun, hati-hati!! Jangan terpedaya dengan pementasan bangsawan percuma itu.

Sudahkah sekalian jelata lupa dengan sepak terajang si mantan bendahara selama 22 tahun dia bersemayam di puncak kuasa?? Bukan mahu membela si pewaris, jauh sekali mahu memihak kepada mana-mana puak bertelagah dalam bahtera yang sudah sedia kalut itu. Cuma sesekali kita perlu menoleh ke belakang, agar tak mudah tertipu pabila musang kini berbulu ayam.

Di kala si mantan bendahara berkuasa, berlakunya tragedi berdarah di sebuah negeri di utara. Orang-orang kampung yang miskin dan lemah dilanyak dan dihukum kerana giat menuntut ilmu agama. Nyata, perjuangan mereka dalam mencari kecintaan tuhan dibalas dengan nikmat syahid bersama mursyid mereka. Setelah lebih 20 tahun, episod pilu itu terus dipandang sepi tanpa pembelaan. Namun kini, si perencana bergelar bendahara itu yang tanpa segan silu meraikan terkorbannya mereka yang sebangsa dan seagama dengannya dalam operasi zalim itu, tiba-tiba menyalak mahukan keadilan, pembelaan bangsa dan entah apa-apa lagi.

Terlepas pandangkah si mantan bendahara hakikat bahawa anak-anak, saudara-maranya semuanya hidup teramat mewah. Harta terhimpun tak habis makan tujuh keturunan. Suatu kebetulankah bila kepala perencana acara suka gilang-gemilang sedekad dahulu adalah ipar si mantan bendahara? Tidak jelikkah tindakan mengarahkan semua urusan angkut-mengangkut dari pelabuhan di negeri terkaya tanahair diuruskan hanya oleh syarikat anaknya, sehingga memaksa beribu-ribu rakyat lain hilang sumber rezeki?

Si mantan bendahara yang konon berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi, terlalu tinggi angan-angannya, terlalu besar egonya sehinggakan membina semua yang ‘ter’ (terbesar, tertinggi, terpanjang). Malangnya sepanjang-panjang akal si mantan bendahara itu, terlupa ia akan derita rakyatnya yang masih tidak cukup makan, tidak cukup pendidikan, malah masih ada yang tiada keperluan asasi untuk melangsungkan hidup.

Menyelak sedikit lembaran sejarah tanah bertuah itu, cukup untuk menyingkap bagaimana satu persatu pembantu si mantan bendahara dijatuhkan bila dirasakan si hamba sudah mahu jadi tuan. Pelbagai cara kotor digunakan demi untuk menjamin keutuhan takhta yang seterusnya dapat memastikan tembolok mereka yang berkepentingan terus kenyang dengan perahan keringat rakyat jelata.

Kini, setelah si mantan bendahara turun takhta, merasalah ia perit pedih perbuatannya dahulu. Mengamuklah ia bila suaranya tak ada yang mendengari, bila tembolok juak-juaknya mula kempis tak dapat diisi hasil titik peluh rakyat lagi. Mungkin kerna usia tuanya dia terlupa segala yang dimarahinya itu semuanya dulu merupakan amalan biasa pemerintahannya. Siapa yang tidak kenal dasar pecah perintah si mantan bendahara? Lalu proteslah ia dengan mengajak juak-juaknya terjun dari bahtera yang dulu dikemudinya. Bahtera yang sudah sedia reput hasil rakus tangan si mantan bendahara dan terus rapuh dek perilaku si pewarisnya.

Maka bertepuk tangan rakyat jelata melihat dua nakhoda bahtera lanun yang sekian lama merompak hasil mahsul negara dan rakyat jelata. Lantas bangun seorang ketua marhaen, “biarkan si luncai terjun dengan labunya”, teiaknya lantang kepada orang ramai yang sedang leka memerhatikan jenaka dua nakhoda celaka. Jenakanya kerana yang terjun dan yang bertahan terus mengemudi bahtera akan sama-sama hanyut dan tenggelam tak berbaki. Bahtera itu bukan sahaja dibina dari kayu rapuh tak bermutu, tapi sudah lama berlubang dan rosak tak dapat dibaiki lagi. Mana yang bijak, sudah lama berpindah menumpang bahtera lain, yang dungu, buta dan gila masih lagi berebut takhta bergelar si nakhoda.

1 comment:

Aishah said...

marvelous!!! keep up the good work:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...