Friday, May 23, 2008

Wanita juga wajar berpoligami?-Siri 1

“Bagi aku, Islam memang tak adil. Apa rasionalnya lelaki dibenarkan memadu cinta isterinya sehingga empat, sedangkan si isteri perlu patuh dan hormat kepada suami!!” rungut gadis kecil molek di hadapanku ini. Aku hanya tersenyum mendengarnya meluahkan ras tidak puas hati yang membuak-buak itu.

Gadis di depanku ini agak unik orangnya. Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga ‘urban’, Sofia tidak punya asas agama. Dia tidak pernah kenal solat, apa lagi erti kehidupan seorang Muslim. Sofia bangga mengaku dirinya sebagai produk DEB dan Islam Hadhari, seorang Melayu ‘glokal’ yang tidak lagi terikat dengan kepercayaan karut dan kuno.

Namun darah intelektual yang mengalir di segenap sendinya itu, nyata merangsang Sofia untuk menyelongkar dalam diri, mencari makna kehidupan. Usahanya mencari kebenaran nyata membawanya semakin hampir kepada Islam. Aku sebagai seorang sahabat cuba membantu mana terdaya, berkongsi setitis ilmu yang ada untuk memuaskan dahaganya terhadap Islam.

“Sofia,” balasku lembut. “Kau ingat tak lagi apa yang saya cerita tentang maqasid syarie dulu?”. “Mestilah. Tentang segala syariat dalam Islam ini diturunkan untuk melindungi akal, keturunan, nyawa, harta dan iman, kan?”, balasnya penuh yakin. Terbukti tidak sia-sia perbincangan kami selama ini. “Ha, dengan berlandaskan maqasid syaie tadilah kita boleh cuba untuk memahami hikmah di sebalik isu poligami dalam Islam”, aku cuba memancing perhatiannya terhadap apa yang ingin aku kongsikan.

“Pertama sekali, aku nak mengajak kau melihat isu keharusan berpoligami itu dari satu perspektif yang lain. Pada pandangan aku, ayat ke-3 dari surah an-Nisa itu bukan membuka atau mencipta satu keharusan untuk lelaki beristeri lebih daripada satu. Ayat itu sebaliknya mengehadkan lelaki untuk mengahwini lebih daripada empat wanita dalam satu-satu masa.”, aku melontarkan hujah pertamaku.

“Ha? Kan sama je kedua-duanya. Sama-sama membenarkan lelaki untuk berkahwin ramai.”, tingkahnya, masih tidak dapat menangkap maksud kata-kataku. “Salah tu Sofia. Kau tahu tak, sewaktu Islam muncul di Semenanjung Arab dulu, bilangan isteri merupakan antara simbol keegoan dan lambang ketinggian darjat seorang lelaki. Amalan biasa di sana apabila seorang lelaki berisiteri sehingga lebih sepuluh orang. Amalan poligami ini juga boleh dibuktikan wujud dalam mana-mana tamadun dunia. Berbeza dengan kepercayaan umum, amalan poligami BUKAN diperkenalkan oleh Islam.”, balasku panjang-lebar.

“Apabila Islam diturunkan, Islam mengehadkan jumlah isteri bagi seorang lelaki dalam satu-satu masa. Pendek kata, mengikut apa yang aku dapat faham dengan ilmu aku yang cetek ini, keharusan berpoligami dalam Islam itu boleh dijelaskan dalam bentuk yang lebih mudah seperti berikut; kahwinlah dengan seorang wanita. Tetapi, jika kamu mahu, dan yakin kamu akan dapat berlaku adil, maka kamu dibenarkan mengahwini sehingga empat orang wanita sahaja.”, tambahku lagi.

“Ok, mungkin ada benarnya pandangan kau tu. Tapi, mengapa perlu empat? Mengapa perlu lebih daripada satu? Mengapa tidak had itu ditetapkan tidak melebihi seorang? Bukankah itu lebih adil?”, Sofia pantas mengajukan soalan bertalu-talu, membuktikan ketajaman akalnya berfikir. Jauh di sudut hati, aku bersyukur masih ada generasi muda yang mampu berfikiran kritis sebegini walaupun lebih 50 tahun budaya ‘angguk-angguk, geleng-geleng’ diterapkan sebagai budaya masyarakat.

“Memang satu itu, pada umumnya pilihan yang terbaik. Tiada komplikasi, semua pihak gembira. Namun, kita harus akui, ada pelbagai situasi yang menuntut ke arah poligami. Sebagai contoh, jiran aku, isteri pertamanya sakit teruk bertahun-tahun. Anak yang seramai lapan orang, yang masih kecil-kecil akhirnya semakin tidak terurus. Dia berkahwin satu lagi, dan kini, alhamdulillah, kelapan-lapan anak kecil itu dijaga dengan baik oleh ibu tiri mereka. Bayangkan pula, si isteri tidak mampu menghadiahkan satu zuriat pun kepada suaminya. Adakah si suami perlu menceraikan isterinya demi untuk memenuhi tuntutan nalurinya untuk menimang darah daging sendiri?”, soalku cuba memprovok penilaian Sofia.

“Kerana itu keharusan berkahwin tidak wajar dihadkan kepada seorang isteri untuk setiap lelaki. Keharusan bukan bermakna setiap lelaki patut berkahwin lebih dari satu. Sebagai simbolik, andaikan aku hidangkan sepuluh jenis lauk-pauk untuk kau. Adakah kau mesti menghabiskan kesemuanya atau kau ambil mana yang perlu mengikut selera, kemampuan dan keperluan kau?”, aku hujankan soalan-demi soalan sebagai jawapan kepada kekeliruan Sofia.

“Bercakap sebagai seorang lelaki, aku sendiri kalau boleh mahu mengelak sejauh-jauhnya daripada memadukan insan yang aku cintai. Mengambil iktibar daripada pengalamn teman-teman ayahku yang berpoligami, aku nampak satu bebanan tanggungjawab yang pada bila-bila masa sahaja mampu membuatkan aku terhumban ke neraka, andai aku lalai dan leka.”
“Ok, aku dah mula dapat terima kewajaran lelaki berpoligami. Tapi, untuk berlaku adil, bukankah perlu perempuan pun diberikan keharusan yang sama? Andai kata si suami yang mandul, takkan isteri terus dihalang daripada mempunyai zuriat sendiri? Bercakap dari sudut seksologi, perempuan lebih layak berpoligami kerana perempuan mampu mencapai multi-orgasm. Takkan timbul masalah untuk perempuan melayan 2,3 orang suami dalam satu malam.” Tegas hujahnya dilontarkan, menggambarkan pemikiran terbuka yang sinonim dengan wanita moden.

“Ya, dari segi logik yang kau utarakan, memang begitulah. Tetapi kau lupa yang peempuan telah dianugerahkan satu keistimewaan yag tidak ada pada lelaki. Dan keisitmewaan inilah yang bagi aku menjadi halangan terbesar untuk perempuan berpoligami.”balasku tenang. “Keistimewaan?”, aju Sofia kehairanan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...