Friday, May 23, 2008

Wanita wajar berpoligami?-Siri 2

“Ya, perempuan dianugerahkan keistimewaan untuk mengandung dan melahirkan anak. Dan atas sebab itulah perempuan tidak wajar sama sekali berpoligami. Kau bayangkan sahaja, tidakkah rumit untuk menentukan siapakah bapa bayi tersebut andai si ibu bersuami empat? Ya, memang teknologi DNA boleh digunakan. Tapi bukankah itu akan mencipta komplikasi? Bagaimana pula kalau si suami saling tolak-menolak, menuding jari, mengelak tanggungjawab? Bukan itu sahaja, kajian saintis Barat sendiri telah mengakui bahawa banyak Sexually Transmitted Disease terjadi apabila seorang wanita melakukan hubungan seks dengan lebih daripada seorang lelaki dalam satu kitar haid. Bagi aku, dua sebab ini bukan sahaja merupakan hikmah di sebalik larangan berpoligami kepada wanita, tetapi juga hikmah di sebalik hukum ‘iddah.”, jelasku.

Sofia kelihatan terdiam seketika. “Selain itu, aku pernah terbaca kajian sekumpulan ahli psikologi. Mereka menyimpulkan bahawa lelaki mampu jatuh cinta dan sayang kepada lebih daripada seorang wanita dalam satu-satu masa, manakala perempuan akan memberikan sepenuh cinta dan kasih sayangnya kepada seorang sahaja.Menyentuh soal emosi, kau pun akui kan sekuat mana kita nampak luaran seorang wanita, emosinya rapuh seperti kaca. Sekali kaca itu pecah, akan menderulah desakan emosi yang akhirnya membuatkan dia tewas untuk terus berfikiran rasional. Kalau begitu keadaannya, macam mana pula seorang wanita mahu meniti titik keseimbangan dalam menjaga empat hati?”, sambungku.

Sofia mengangguk-angguk tanda berpuas hati dengan penjelasanku yang tidak seberapa itu. “Tapi Man, kau beria-ia mempertahankan poligami ni, kau memang ada hajat berkahwin ramai ke?”, sempat juga dia mengusik aku.

“Sofia, macam aku katakan tadi, poligami bukannya satu fantasi sex. Ia datang dengan satu bebanan tanggungjawab yang sangat besar. Aku tak berani mengambil risiko sebegitu melainkan keadaan betul-betul tidak memberikan aku pilihan lain. Aku mempertahankan poligami kerana ia adalah syariat Allah. Berdosa kita mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Poligami Islami tercalit arang kerana pengamalnya yang menganggap poligami sebagai satu lesen besar untuk bersuka-suka. Media pula tidak membantu dengan hanya memomokkan kita dengan cerita-cerita poligami yang gagal, walaupun jumlah yang gagal itu hanyalah sebahagian sahaja.”

“Kadang-kadang aku kesal melihatkan isu ini dimainkan sebagai alat untuk mereka yang kononnya memperjuangkan hak-hak wanita. Begitu lemahnya Muslim di negara kita hinggakan perempuan yang tidak lulus soal aurat dibenarkan untuk menghina hukum Allah. Lebih pilu lagi bila mereka yang bukan Islam pun diminta untuk memberikan komen tentang syariat Islam ini. Jika mahu ubah, didiklah pengamal poligami, jangan sesekali dipertikaikan hukum Allah. Setinggi mana pun ilmu kita untuk berhujah, tak dapat dibandingkan sebesar zarah pun dengan Allah yang Maha Mengetahui.” Tegas aku menyatakan pendirianku. Harapanku hanya satu; biarlah suatu hari nanti poligami tidak lagi menjadi stigma dalam masyarakat. Biarlah ia diamalkan dalam satu sistem yang kemas dan efisien.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...