Monday, February 14, 2011

Salahkah bercinta di ambang Maulidur Rasul?

Malam ini malam menjelang Maulidur Rasul S.A.W. mengikut kebanyakan ulama' Sunni. Malam ini juga malam setelah sambutan St. Valentine's Day.

Aku terkedu membaca komentar Muslim-Muslim "urban". Kata mereka, "chill lah, sambutan hanya untuk anak muda bersuka-ria. Salahkah kita meraikan kasih-sayang dan cinta? Apakah cinta dilarang agama?

Teringin untuk aku lontarkan kembali, apa Mualidur Rasul itu bukan hari yang khusus untuk meraikan cinta? Bukan hari yang istimewa untuk melahirkan ekspresi kasih-sayang?

Menyambut kelahiran Muhammad S.A.W. sebagai satu-satu anugerah Allah yang paling berharga kepada makhluk Nya sekalian alam tidak cukup dengan berarak di hadapan PM yang ayu berkebaya dan isterinya yang segak dengan baju melayu dan songkok.

Menyambut maulid Sang Penyelamat Insan harus disertai dengan azam untuk menjadi umatnya yang lebih baik. Tidak perlu kepada perkara besar-besar yang belum mampu kita capai, cukuplah dengan amalan-amalan mudah yang senang diukur perlaksanaannya seperti:

1. Menjaga solat 5 waktu, andai sudah tercapai;
2. Berazam untuk solat di awal waktu,
3. Membaca al-Quran sekurang-kurangnya sekali sehari,
4. Menjauhi rasuah, berbohong dan menzalimi orang lain,
5. Menyayangi fakir miskin dan anak-anak yatim
6. Berlaku adil dalam setiap keadaan
7. Dan lain-lain amalan yang bakal membezakan antara Mu'min dan fasik

Tapi bukan itu sahaja. masih banyak lagi azam-azam yang boleh dibina dari aspek yang belum diteroka. Seperti buat yang dahagakan cinta, yang nafsu muda bergelora di dada, bukankah banyak anjuran Rasulullah S.A.W. yang bertema cinta?

1. Menyenangkan hati suami (berpakaian indah, layanan mesra, menghias diri)
2. Mengasihi dan menyayangi isteri (buat kejutan hadiahkan bunga mungkin?)
3. Berazam untuk menikahi si dia secepat mungkin (mulakan dengan perancangan kewangan)
4. Membahagiakn kedua ibu-bapa (belanja makan ke, bawa jalan-jalan ke?)
4. Cukup banyak contoh yang kita masing-masing boleh fikirkan...

Maka, salahkah segala perancangan romantik kita untuk Hari St. Valentine yang disambut saban tahun itu dilaksanakan pada setiap 12 Rabi'ul Awwal sebagai tanda kegembiraan menyambut kelahrian Sang Pencinta Sejati, Muhammad S.A.W.?

Mungkin ustaz-ustaz dan para ilmuwan kita boleh menukar sedikit tema ceramah-ceramah Maulidur Rasul dari sekadar mengingati sejarah kelahrian Rasulullah S.A.W. kepada memperingati dan memperjuangkan apa yang ditinggalkannya. Dan bukankah cinta dan kasih-sayang itu sebahagian dari ajaran yang dibawa Junjungan kita, dpraktikkan dalam hidupnya melalui tutur kata dan perbuatan lalu menjadi sebahagian Sunnah Baginda?

Kenalkan Islam dari perspektif cinta baru anak-anak muda tak lagi malu-malu untuk hadir ke majlis ilmu. To get people to comprehend your message, you got to talk their language.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...