Tuesday, February 1, 2011

Selamat Hari Wilayah ke 39

Alhamdulillah, di malam sambutan Hari Wilayah ini, jari-jemariku kembali menemukan semangat untuk berdansa di pentas papan kekunci serba hitam ini.. Sememangnya tanpa disiplin yang teguh, laman blog ini akan terus sepi..

Esok, 1 Februari sambutan Hari Wilayah.. Antara hari penting dlm landskap politik Malaysia. Saban tahun kita merayakan, tapi sangat kurang sejarah pembentukan Wilayah Persekutuan (WP) dipaparkan kepada umum.

WP Kuala Lumpur dibentuk tidak lama setelah peristiwa 13 Mei 1969 (1 Februari 1972). Pada PRU ke-3 (10 Mei 1969), Perikatan yang diterajui UMNO, MCA dan MIC telah mengalami tamparan yang cukup hebat. Parti-parti pembankang seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), DAP, PPP, dan PAS berjaya menyapu 49 kerusi Parlimen dan memungut 50.7% daripada jumlah undi.

Kebanyakan kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang adalah kerusi-kerusi di Selangor di kawasan-kawasan majoriti Cina (yang kini dikenali sebagi Kuala Lumpur). PRU ke-3 itu juga menyaksikan Selangor hampir-hampir jatuh ke tangan pembangkang.

Seperti diketahui ramai, kejayaan parti-parti pembangkang waktu itu akhirnya membawa kepada peristiwa 13 Mei (hasil provokasi mereka yang tidak gemar untuk kalah- cari kembali siapa yang bertanggungjawab berceramah sana-sini sambil mengucup keris dan berjanji akan membasahkan senjata kecil tersebut denagn darah orang-orang Cina).

Tetapi, kisah yang kurang popular, tetapi tidak kurang juga pentingnya, keputusan PRU ke-3 itu juga membawa kepada penubuhan Kuala Lumpur. Dengan mengasingkan Kuala Lumpur (kawasan panas penyokong pembangkang) dari Selangor, pemerintah akan dapat memastikan kedudukan mereka di DUN Selangor takkan terjejas. Almarhum Sultan Selangor akhirnya menandatangani perjanjian penyerahan KL kepada Persekutuan dgn linangan air mata.

Peristiwa tersebut melahirkan 1 konsep yang masih kekal diamalkan ke hari ini - menang dengan apa juga cara-. Maka usah lah kita hairan selepas sekali lagi mengalami tamparan hebat pada MAC 2008, pelbagai cara lebih hebat akan dilakukan. Suka saya memetik kata-kata Hishamuddin Rais " Kalau PRU boleh mengubah apa-apa, sudah lama ia diharamkan".

Tetapi percayalah, tiap umat manusia punya tahap toleransi masing-masing. Lihatlah di Tunisia, pandang ke arah Mesir dan nikmatilah tiupan hangat angin perjuangan itu. Tirani takkan berpanjangan, lambat-laun rakyat yang buta akan kembali melihat.

Setelah Revolusi Islam Iran 1979 dulu berjaya meniupkan semangat penubuhan negara Islam di kalangan negara-negara Muslim, Insya-Allah revolusi kali ini akan meniupkan angin perjuangan menentang kezaliman tirani, menghapus pemerintahan yang dihambat nafsu seorang wanita.

Sehingga ke saat itu, berjanjilah kita kepada diri masing-masing, demi zuriat yang bakal mewarisi negara ini, akan kita kerah segal yang termampu dalam ruang lingkup keterbatasan masing-masing, untuk menyumbang dalam apa cara sekalipun ke arah pembentukan sebuah "baldatun toyyibah".

Sempena Hari Wilayah ini, katakan tidak kepada mereka yang cuba menafikan suara rakyat. Agar apa juga keputusan PRU ke13 nanti akan dihormati dan tidak dipijak-pijak seperti PRU ke3. Hari Wilayah ini sepatutnya mengingatkan kita bahawa manusia sanggup melakukan apa sahaja demi KUASA, HARTA dan WANITA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...